Blog Widget by LinkWithin

leaderboard denaihati Banner


Yang Terkini

Sunday, February 7, 2010

Rumah PAKATAN kelamkabut SALAH UMNO juga

Anggota Majlis Pimpinan Pusat PKR, Datuk Seri Chua Jui Meng berkata penggunaan kalimah Allah sehingga tercetusnya insiden pembakaran gereja dan rumah ibadat adalah "isu politik bukannya isu agama".

Beliau mendakwa Umno cuba menggunakan isu ini untuk memecahbelahkan Pakatan Rakyat.

Bagaimanapun katanya, apa yang diharapkan oleh Umno berlaku sebaliknya apabila PAS dan Pakatan Rakyat membuat keputusan untuk mempertahankan penggunaan kalimah ini.

"Selepas kejadian pembakaran gereja tersebut, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang pergi melawat kawasan tersebut menyebabkan Umno terkejut dengan tindakan PAS.

"Ditambah pula selepas pembakaran tersebut, penganut agama Kristian mengampuni orang membakar gereja mereka," katanya dalam satu forum kalimah Allah di ibu negara malam tadi.

Selain Chua, forum anjuran Lajnah Penerangan Pemuda PAS, berlangsung di Hotel Antarabangsa Kuala Lumpur, turut dihadiri oleh dua lagi ahli panel iaitu mantan Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainal Abidin dan Ketua Pemuda PAS Pusat Nasrudin Hasan Tantawi.

Majlis yang bermula pada jam 9.10 malam, berlangsung lebih dua jam yang dihadiri kira-kira 100 orang.

Chua yang juga bekas naib presiden MCA mendakwa isu pembakaran gereja di Desa Melawati dan dua gereja di PJ yang terletak di Selangor di bawah Pakatan Rakyat digunakan sebagai usaha Umno untuk merampas kuasa daripada Pakatan Rakyat.

"Habis orang Umno, Pakatan tidak berpecah, dan mengharapkan orang Kristian akan balas dendam, tetapi mereka berkata, orang yang buat jenayah itu, kita mengampuninya," katanya sambil menambah usaha parti itu gagal.

Sekiranya cetus ketegangan atau keadaan yang tidak aman di Selangor maka Umno akan mengisytiharkan darurat, tambahnya.

Dengan memberi contoh pengalaman di Kelantan, apabila darurat berlaku pada tahun 1977 ketika negeri itu di bawah kerajaan PAS menyebabkan pengundi telah memilih BN pada tahun berikutnya sehingga pada tahun 1990.

Katanya, ini kerana pengundi tidak mahu mengalami peristiwa yang sama berulang di bawah kerajaan PAS tambahnya.

Chua yang juga bekas menteri kesihatan mendakwa kerajaan terutamanya Kementerian Dalam Negeri (KDN) memberi tekanan kepada akhbar Herald setelah penganut agama Kristian dikatakan cenderung menyokong Pakatan sebelum pilihan raya umum ke 12.

"Sebelum pilihan raya 2008, berlaku demonstrasi besar-besaran oleh BERSIH. Dan Herald menerbitkan di muka hadapan artikel dan gambar demonstrasi BERSIH.

Beliau mendakwa menteri ketika itu mengeluarkan surat serta tekanan kepada NGO supaya menariknya balik, maka Katolik tidak ada cara lain selain menuntutnya keadilan di mahkamah.

"Bukan Katolik yang debat isu ini, tetapi Umno yang serang isu ini," katanya.

Sementara itu, seorang lagi ahli panel, mantan Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainal Abidin menggesa kerajaan atau parti politik supaya menetapkan peraturan atau garis panduan berhubung penggunaan kalimah Allah bagi mengatasi kebimbangan rakyat sehingga boleh menimbulkan ketegangan antara agama.

Garis panduan ini juga perlu diwujudkan bagi mengelak daripada berlakunya penyalahgunaan kalimah tersebut ditempat yang tidak sepatutnya.

Pada asasnya, kata Dr Asri, Islam tidak melarang bukan Islam untuk menggunakan kalimah ini, kerana ia dibenarkan dalam al-Quran, Kitab Hadis Sahih al-Bukhari dan Muslim dan peristiwa sirah dan sejarah Nabi Muhammad SAW.

Sumber khazanah Islam itu menyatakan bahawa kaum Musyrikin di zaman baginda menyebut turut menggunakan nama Allah.

Oleh itu, Dr Asri menyifatkan isu yang timbul berhubung penggunaan kalimah Allah ini, adalah isu "pengurusan pentadbiran di sesebuah negara" bukan "isu autoriti teks atau nas Islam".

"Bagi saya, isu ini bukan isu autoritatif teks, tetapi bagaimana menguruskan peraturan untuk mengelakkan daripada berlakunya ketegangan.

'Peraturan itu mestilah tidak boleh kontradik dengan ajaran agama Islam. Di sinilah peranan politik Islam meletakkan garis panduan. Mereka (bukan Islam) boleh guna, tapi kita bimbang ia boleh disalahgunakan.

"(Jadi) untuk mengelakkan daripada salah guna, peraturan atau garis panduan ditetapkan daripada berbuat salah," katanya.

Mengulas lanjut, Dr Mohd Asri berkata, walaupun Islam itu membenarkan penggunaan kalimah Allah, tetapi sekirnaya kalimah Allah itu dijelmakan dalam keadaan tertentu contohnya seperti lembu maka ia akan menimbulkan rasa sensitif di kalangan umat Islam dalam negara.

"Bagi saya, jika disebut dalam gereja atau dalam pusat ibadat, tidak apa. Kemudian kita dengar mereka menyebut Ya Allah, Oh Allah sewaktu mereka beribadat dan kita lapor kepada polis untuk tangkap (mereka), (maka) Islam tidak pernah ajar tindakan ini.

"(Jadi) isunya adalah menentukan kadar hak yang diberikan oleh Islam kepada orang lain apabila memerintah," katanya.

Sehubungan itu beliau mencadangkan supaya kerajaan atau parti politik menetapkan peraturan atau garis panduan dengan mengambil kira penentuan kadar hak bukan Islam.

Bercakap sebagai ahli panel kedua di forum itu, Dr Mohd Asri berkata sebahagian cadangan garis panduannya itu telah muatkan di dalam blognya.

Menurutnya lagi, beliau juga turut mempersoalkan istilah "menggunakan" kalimah tersebut kerana ia membawa maksud yang "tidak jelas".

"Perkataan itu sangat luas maksudnya, ia belum didefinasikan lagi," katanya sambil membawa contoh Dr Chua Jui Meng berkata kepadanya "May Allah Bless You".

"Apa patut saya jawab? Takkan saya nak kata, jangan cakap begitu, kamu hina Islam.

"Takkan saya nak kata, jangan guna Allah, guna perkataan Tuhan. Apakah saya perlu kata begitu atau saya akan buat laporan polis," katanya sambil disambut gelak ketawa hadirin.

Sehubungan itu, beliau sekali lagi mengesa parti politik atau pemerintah mendefinasikan dahulu perkataan "menggunakan" dalam konteks bagaimana perkataan tersebut sebelum ia diaplikasikan.

"Jangan buat peraturan kepada orang lain yang tidak bermaksud untuk membuat kesalahan dalam soal ini,"katanya.

Manakala Nasrudin pula, selaku ahli panel pertama, berkata isu kalimah Allah ini "sengaja dipolemikkan oleh pihak yang cuba ambil kesempatan untuk menimbulkan kekeruhan antara kaum".

"Penggunaan kalimah Allah oleh penganut agama samawi tidak asing, walaupun (ia) asing di negara kita. Tapi di negara-negara Arab, kalimah tersebut digunakan oleh golongan Nasara (Kristian), Jadi (bagi Pemuda) tidak ada isu.

"Tindakan menimbulkan polemik ini, sehingga menimbulkan krisis adalah tindakan yang tidak bertanggungjawab. Sepatutnya ia diselesaikan dengan dialog dan perbincangan seperti yang dianjurkan oleh al-Quran," katanya.

Katanya al-Quran menyeru manusia agar berdakwah dengan hikmah dan nasihat dengan baik serta berdebat dengan cara yang terbaik seperti muzakarah atau berdialog.

"Al-Quran tidak pernah mengajar umatnya menimbulkan persengketaan sehingga timbul perasaan benci antara satu dengan yang lain. Umat Islam perlu menghormati antara satu dengan yang lain sama ada, boleh (menggunakan kalimah Allah) atau tidak.

"Ia perlu kepada kepada hujah yang sahih. Berkait dengan perbezaan pandangan pula, maka ia boleh diselesaikan dengan mengambil pendekatan ilmiah melalui pengkajian, penyelidikan atau berbahas yang berdasarkan kepada hujah bukan menimbulkan provokasi dengan membakar gereja," katanya.

Jelasnya, tindakan tersebut katanya adalah tindakan bagi individu atau kumpulan yang tidak mempunyai hujah.

"(Kita berhujah) bukan mencari kemenangan atau aku nak menang," katanya sambil memetik sepotong ayat al-Quran yang mengajak umat Islam berhujah demi mencari kebenaran.

Nasrudin menegaskan sekali lagi pendirian PAS berhubung penggunaan kalimah Allah, adalah selari dengan sikap dan pandangan beberpa ulama tersohor antaranya Yusuf Al-Qaradhawi dan Wahbah al-Zuhaili.

Dalam kesempatan itu juga, beliau juga mengajak penganut agama Kristian agar memahami perkataan Allah itu satu lafaz Jalalah dalam Islam.

"Penganut agama Kristian, kalau nak guna, saya minta juga memahami apa itu ertinya (Allah).

"Allah yang kamu fahami berbeza dengan apa yang kami fahami. Bagi Islam Allah tidak mempunyai anak. Islam tidak menerima (keimanan) bahawa Allah memepunyai anak.

"Bagaimanapun kita tetap menghormati pandangan mereka. Kita tidak ada hak untuk memaksa mereka (mengikut agama Islam)," katanya sambil membaca sepotong ayat dari surah al-Baqarah, ayat 256.

"Kita menghormati mereka, kerana kita tidak ada hak untuk melarang mereka. Tetapi kalau kalimah itu digunakan secara salah itu, kita tidak bersetuju. Mesti digunakan dengan cara yang benar," katanya sambil memberi contoh meletakkan kalimah itu pada produk untuk menyatakan ia halal atau dalam bentuk pengedaran yang mencetuskan propaganda yang mengelirukan.

Sumber @ http://www.malaysiakini.com/news/123871

Related Posts by Categories



Widget by Hoctro | Jack Book

0 comments:

Minda Bebas

YB dan x-YB

PAKATAN ni!!

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP