Kes Liwat AnWAR : PKR Rayu Penyokong Datang beri simpati
Mulai hari ini, penyokong PKR dari semua negeri akan diwajibkan bergilir-gilir hadir di perbicaraan kes liwat ketua umumnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail berkata ekoran usaha itu, pihaknya berharap kehadiran penyokong dapat mencecah angka ribuan dan mencapai kemuncaknya setiap hari Jumaat.
"Kita harap sekurang-kurangnya 300 anggota daripada lima cabang hadir setiap hari.
"Kehadiran diwajibkan kepada dua cabang PKR di Selangor, dua cabang di Wilayah Persekutuan dan satu cabang dari negeri-negeri lain akan bergilir-gilir hadir di mahkamah setiap hari," katanya.
Difahamkan, Saifuddin telah mengadakan pertemuan dengan ketua cabang PKR di ibu pejabat parti tersebut di Petaling Jaya kelmarin bagi membincangkan perkara itu.
Ada pihak yang mendakwa langkah terbaru PKR itu sebagai usaha untuk menarik lebih ramai penyokong hadir memberi sokongan.
Ini kerana penyokong Anwar yang hadir di perbicaraannya kali ini tidak ramai, berbanding perbicaraan kes liwat pertama terhadapnya 10 tahun lalu.
Memasuki hari keempat perbicaraaan pagi tadi, kehadiran paling ramai penyokong ketua pembangkang itu hanyalah pada hari pertama, Selasa minggu lalu - sekitar kira-kira 100 orang.
Manakala pada hari-hari berikutnya, jumlah kehadiran penyokong PKR kurang daripada itu. Malah hanya kira-kira 30 orang sahaja yang menyertai protes Jumaat lalu.
Bagaimanapun, Saifuddin menafikannya dan berkata, rancangan tersebut sudah lama dirancang dan bukanlah semata-mata disebabkan sambutan penyokong yang kurang menggalakkan yang hadir mengikuti perbicaraan kes berprofil tinggi itu.
"Tumpuan parti terhadap program penerangan (kes Anwar) di seluruh negara. Jika kesannya menggalakkan orang turun ke mahkamah, kita alu-alukan.
"Kita perhebatkan program penerangan di seluruh negara melibatkan pimpinan-pimpinan. Itu betul. Tetapi kalau mobilisasi khusus untuk menggerakkan orang ke mahkamah, bukanlah," katanya.
Menurut Saifuddin menjelaskan, program penerangan tersebut dimulakan oleh sayap Pemudanya sejak sebelum perbicaraan bermula lagi, yang melibatkan 38 kali ceramah.
Sumber @ http://malaysiakini.com/news/123944
0 comments:
Post a Comment