Blog Widget by LinkWithin

leaderboard denaihati Banner


Yang Terkini

Saturday, October 3, 2009

Bagan Pinang: Shahruddin isytihar keluar PKR

Aktivis PKR, Shahruddin Abdul Hamid, yang telah menyatakan hasratnya bertanding sebagai calon bebas dalam pilihan raya kecil DUN Bagan Pinang pada 11 Oktober, mengisytiharkan keluar parti itu hari ini.

Menurutnya, beliau mengambil keputusan itu ekoran tekanan pemimpin pembangkang - PAS dan PKR - daripada pelbagai peringkat yang mahu beliau keluar dari PKR.

"Banyak tekanan yang saya terima. (Ketua umum) Datuk Seri Anwar Ibrahim pun tidak suka. Pergi mana orang serbu saya, jadi saya letak jawatanlah," kata Shahruddin yang juga bekas kakitangan ahli parlimen Teluk Kemang, Kamarul Baharin Abbas.

Ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, Shahruddin juga memaklumkan, beliau tidak akan menghantar surat peletakan secara rasmi kepada ibu pejabat PKR kerana merasakan sudah memadai mengisytiharkan melalui media.

"Saya hanya beritahu (ADUN PKR Port Dickson) YB M Ravi saja. Dia kata OK," katanya.

Sementara itu, mengulas peluangnya setakat ini, Shahruddin yakin mampu merebut sekurang-kurang 20 peratus undi daripada kedua-dua parti bertanding, PAS dan BN.

"Mana-mana yang tidak setuju dengan calon yang dipilih parti masing-masing, akan memberikan undi kepada saya. Sebanyak 10 peratus lagi akan datang daripada pengundi atas pagar," katanya.

Shahruddin juga menjelaskan, oleh kerana kesuntukan dana, jenteranya tidak akan menggunakan banyak bahan kempen seperti kain rentang dan poster.

"Saya hanya buat dari rumah ke rumah, pergi kedai dan sebagainya. Saya cuma ada jentera kecil. Ceramah pun kita akan buat dua kali sahaja," katanya.

Beliau kini sedang mempertimbangkan lambang yang akan digunakannya esok bagi bertanding sama ada kunci, komputer atau payung.

Pada 14 September lalu, Shahruddin menawarkan diri sebagai calon bebas dalam pilihan raya kecil DUN itu kerana mahu bertanding bagi "memajukan industri pelancongan" di Port Dickson.

Bekas pengerusi tetap Umno Kota Lukut itu sehingga 2004, kini berniaga dalam bidang pengurusan acara.

Shahruddin, 52, pernah bertugas sebagai kakitangan Kamarul, yang juga pengerusi Majlis Pimpinan Negeri PKR Negeri Sembilan, hampir setahun selepas pilihan raya umum lalu.

Sumber @ http://www.malaysiakini.com/news/114104

Related Posts by Categories



Widget by Hoctro | Jack Book

0 comments:

Minda Bebas

YB dan x-YB

PAKATAN ni!!

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP