Blog Widget by LinkWithin

leaderboard denaihati Banner


Yang Terkini

Tuesday, December 1, 2009

Konolel MAT watak ciptaan siapa??

Dengan mendakwa seorang pegawai tentera yang penuh misteri terlibat dalam konspirasi menjatuhkannya, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat terus mencipta teka-teki, termasuk di kalangan pemimpin PAS dan mereka yang dekat dengannya.

'Kolonel Mat', individu yang disebut-sebut itu, turut menjadi tanda tanya sehingga ada yang meneka ia dikaitkan dengan pasukan petugas khas bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM), dikenali 'Task Force 2010'.

"Mungkin jugalah. Dalam PAS ini hanya seorang saja yang lantang mengkritik idea kerajaan perpaduan, (iaitu) Tok Guru," kata satu sumber yang dekat dengan menteri besar.

"(Siapa kolonel) itu kena tanya Tok Guru (Nik Aziz) sendiri, kita pun tidak tahu. Mungkin ada betul, mungkin (hanya) kiasan."
Menjelang pemilihan PAS pada muktamar tahunan Jun lalu, yang menyaksikan pertarungan sengit jawatan nombor dua parti itu antara exco kerajaan Kelantan Datuk Husam Musa dengan penyandangnya Nasharuddin Mat Isa, maka muncul nama 'Task Force 2010'.

Blog-blog itu mendakwa Nasharuddin mempunyai hubungan rapat dengan pemimpin pasukan petugas khas itu dan cuba membabitkan Nik Abdul Aziz tetapi mursyidul am PAS tidak menunjukkan minat.

Task Force 2010 (Malaysia) dibentuk daripada gabungan dua agensi penyelaras di negara ini dan Thailand pada Januari 2007 bagi membawa keamanan di tiga wilayah yang sedang bergolak iaitu Pattani, Yala dan Narathiwat.

Penubuhannya, yang diketuai oleh seorang leftenan jeneral, dibuat hasil perbincangan antara perdana menteri waktu itu Tun Abdullah Ahmad Badawi dan pengerusi Majlis Keselamatan Kebangsaan Thailand, Jeneral Sonthi Boonyaratglin yang mahu mengembalikan kestabilan di selatan Thailand.

Selain Nasharuddin, exco kerajaan Selangor Datuk Dr Hasan Ali juga turut dikaitkan dengan pasukan petugas itu yang mula menukar arahnya kepada isu "perpaduan Melayu" susulan keputusan pilihan umum 2008 yang memihak kepada pembangkang.

Nasharuddin dan mereka yang dibabitkan dengan isu perpaduan Melayu bagaimanapun tidak pernah mengulas dakwaan di blog-blog.

Sementara itu, penulis blog yang sering mendedahkan isu-isu dalaman PAS, Abdul Rahman Abdul Talib pula berpendapat, 'Kolonel Mat' benar-benar wujud tetapi gelaran itu bukanlah nama sebenar.

"Saya rasa ia hanya satu nama kod," katanya kepada Malaysiakini.

Abdul Rahman, penulis blog Malaysia Waves menambah, terdapat kemungkinan 'Kolonel Mat' terlibat dalam rancangan menjatuhkan Nik Aziz di Kelantan.

"Mereka merancang jatuhkan Tok Guru. Tetapi Husam kena berundur terlebih dahulu. Jadi, mereka wujudkan konflik antara Tok Guru dan (menantunya) Abdul Ariffahmi (Abd Rahman)," katanya, yang lebih popular dengan 'Tulang Besi'.

"Oleh kerana rancangan awal itu gagal, mereka berganjak ke fasa kedua pula dengan meminta Tok Guru meletakkan jawatan segera. Tetapi Tok Guru menolaknya," jelasnya.

Pada 23 November lalu, Abdul Ariffahmi meletakkan jawatan ketua pegawai eksekutif Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) selepas muncul kontroversi isu nepotisme.

Mengulas konspirasi itu, Abdul Rahman mendakwa, ia melibatkan beberapa pemimpin PAS negeri dan ahli keluarga Nik Aziz sendiri.

"Pemimpin PAS yang terlibat dalam konspirasi ini (pula) tidak tahu sama sekali bahawa mereka digunakan untuk menumbangkan PAS di Kelantan," jelasnya.

Menulis dalam blognya semalam, Abdul Rahman antaranya mendakwa, serangan terhadap kerajaan PAS Kelantan hanya bertujuan mengalihkan perhatian terhadap isu kerajaan perpaduan PAS-Umno.

"Kemelut Kelantan dan 'geng perpaduan' di PAS pusat adalah sepupu-sepipit. Mereka saling terkait, dan kaitan mereka terletak di JPM," coretnya.

Dakwaan berhubung usaha pasukan petugas khas itu juga pernah dilaporkan oleh penulis blog yang dekat dengan PAS, Abu Bakar Mohd Rashid.

Jun lalu, pemilik blog Penarik Beca mengaku menerima emel yang mendakwa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak meneruskan pasukan khas yang ditinggalkan Abdullah itu "kerana ia akan meneruskan legasi ayahandanya (Tun Razak Hussein)".

"Emel itu selanjutnya mendakwa, antara yang akan menjadi usaha terkininya ialah mengembalikan kegemilangan BN dengan membawa semula PAS ke dalamnya (BN)," tulisan Abu Bakar itu dipetik.

Dalam perkembangan berkaitan, Menteri Pertahanan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hari ini dilaporkan berkata, 'Kolonel Mat' tidak wujud dan tidak perlu dikaitkan dengan pihak tentera.

Ketua Dewan Ulama PAS Datuk Harun Taib pula dilaporkan hari ini tercari-cari akan kewujudan pegawai tentera tersebut kerana "hanya Nik Abdul Aziz seorang saja yang tahu dan kenal siapa sebenarnya Kolonel Mat".

Manakala penulis blog Kickdefella Syed Azidi Syed Abdul Aziz – bekas pegawai perhubungan awam PMBK yang bertembung dengan Abdul Ariffahmi – pula mendakwa 'Kolonel Mat' yang dimaksudkan Nik Aziz itu ayahnya yang telah meninggal dunia pada 2003.

Mantan pengerusi perhubungan Umno negeri Tan Sri Annuar Musa berkata, kenyataan Nik Abdul Aziz "berasas dan mesti dijelaskan" supaya tidak dituduh membuat dakwaan tanpa asas.

Sumber @ http://www.malaysiakini.com/news/118639

KOMEN : KALAU TAK SILAP DULU PUN ADA KECOH-KECOH KONONEL MAT DALAM BLOG PAKATAN.

Related Posts by Categories



Widget by Hoctro | Jack Book

0 comments:

Minda Bebas

YB dan x-YB

PAKATAN ni!!

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP