Blog Widget by LinkWithin

leaderboard denaihati Banner

JAWATAN KOSONG: Pekerja Dirumah Diperlukan

Monday, October 19, 2009

1Malaysia : Azmin kata Zaid Ibrahim BERBOHONG

Azmin sewaktu menghadiri majlis rumah terbuka Aidilfitri bersama kaum keluarga terdekat di kediaman adiknya, personaliti Azwan Ali di Ukay Perdana. Turut sama ialah isteri Azmin, Shamsidar Taharin




Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Azmin Ali berkata, tidak ada sesiapa pun menghalang mana-mana pemimpin PKR dari semenanjung termasuk Datuk Zaid Ibrahim daripada menghadiri program di Sabah.

Azmin juga mendesak Zaid agar segera menjelaskan kepada parti apa yang sebenarnya beliau maksudkan apabila berkata, Anwar Ibrahim menghalangnya ke Sabah.

Tambah Azmin, kepimpinan peringkat pusat tidak pernah mengeluarkan sebarang arahan bagi menghalang mana-mana pemimpin parti itu daripada menghadiri program di setiap negeri.

"Itu tidak benar (halangan), tidak ada sebarang arahan kepada mana-mana pemimpin termasuk Datuk Zaid untuk turun berjumpa dengan ahli bagi memperkukuhkan parti.

"Malah kita sebenarnya menggalakkan semua pemimpin pusat dan juga Ahli Parlimen kita dari semenanjung untuk pergi ke Sabah dan Sarawak...dan saya sendiri tidak ada masalah dengan Zaid," katanya kepada mStar Online dalam satu temuramah eksklusif ketika ditemui di rumah adiknya personaliti Azwan Ali di Ukay Perdana petang tadi.

Zaid yang baru menyertai PKR Jun lalu telah membuat satu pengumuman mengejutkan Jumaat lepas bahawa beliau telah mengambil 'cuti politik' selama enam bulan selepas mendakwa penasihat parti itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim menghalangnya daripada menghadiri program di Sabah.

Dalam pada itu, Azmin yang juga Pengerusi PKR Sabah turut menafikan dakwaan Zaid yang mendakwa hasratnya untuk ke Sabah tidak mendapat restunya.

"Buat apa saya nak halang beliau ke sana, sesiapa sahaja ada hak untuk pergi ke mana sahaja mereka suka termasuk Sabah... tambahan lagi jika menghadiri program-program untuk pengukuhan parti," katanya.

Ditanya sama ada Biro Politik PKR akan mengambil tindakan terhadap Zaid kerana mengeluarkan kenyataan sedemikian, Azmin berkata: ""Buat masa ini belum ada lagi perancangan untuk itu... lagipun saya dapat tahu beliau sedang bercuti.

"Beliau perlu menjelaskan kepada parti kedudukan yang sebenarnya. Jelaskan apa yang berlaku dengan segera bagi mengelakkan kekeliruan."

Diminta mengulas mengenai dakwaan seorang lagi Naib Presiden PKR, Datuk Dr. Jeffrey Kitingan bahawa terdapat 18 daripada 24 ketua cabang di Sabah menandatangani memorandum bagi membantah pelantikan beliau sebagai Pengerusi PKR Sabah, beliau menafikan kesahihan perkara tersebut.

"Hakikatnya perkara tersebut tidak berlaku, tak ada bantahan sedemikian terhadap pelantikan saya.

"Malah semalam saya sendiri telah mempengerusikan satu mesyuarat bersama 18 ketua cabang Sabah di Kota Kinabalu... Jeffrey juga ada bersama.

"Tak ada pula dia bantah apa-apa atau mana-mana ketua cabang yang menyuarakan perasaan tak puas hati terhadap saya," katanya.

Menjelaskan tentang kedudukan sebenar, Ahli Parlimen Gombak itu berkata, lantikan beliau sebagai Pengerusi PKR Sabah adalah bersifat sementara untuk tempoh tiga hingga enam bulan bagi membantu memperkukuhkan parti.

"Biro Politik lantik saya untuk bantu ahli di Sabah, malah dalam pertemuan pertama saya tiga bulan lalu dengan pemimpin Sabah juga saya sudah jelaskan bahawa lantikan saya hanya untuk sementara.

"Masa yang diberikan untuk saya lebih kurang tiga hingga enam bulan, tapi kalau pencapaiannya baik, kedudukan PKR di Sabah makin mantap tempoh itu akan dikurangkan.

"Saya sendiri katakan bahawa parti akan melantik pemimpin tempatan sebagai ganti saya nanti, tapi tugas saya pada ketika ini untuk kuatkan parti dahulu," katanya.

Jelas Azmin lagi, beliau mengakui perkara ini mungkin timbul akibat wujudnya pihak-pihak tertentu dalam parti yang cuba memecah-belahkan hubungan demi kepentingan peribadi.

"Sebenarnya kita sudah mengenal pasti satu atau dua orang dari dalam parti yang mungkin akan menyertai BN (Barisan Nasional) cuba buat kacau.

"Tapi saya sebagai Pengerusi PKR Sabah tidak akan benarkan perkara tersebut berlaku," katanya.

Sementara itu, Azmin juga berkata, beliau kini dalam pertimbangan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap sebuah portal berita kerana melaporkan berita yang tidak benar tentang kononya kedudukan beliau sebagai Pengerusi PKR Sabah tidak disenangi oleh pemimpin tempatan.

"Saya masih dalam perbincangan dengan pihak guaman untuk ambil tindakan undang-undang kerana laporan berkenaan.

"Saya akan saman portal tersebut dan wartawannya kerana membuat laporan yang tidak betul tanpa usul periksa," katanya.

Sumber @ http://anwaribrahimdotcom.blogspot.com/2009/10/azmin-kata-dakwaan-zaid-tak-benar.html

Related Posts by Categories



Widget by Hoctro | Jack Book

0 comments:

Yang Terbuku Di Hati

YB dan x-YB

Minda Bebas

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP